Sejarah Penubuhan Fakulti | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
» MENGENAI KAMI » MAKLUMAT KORPORAT » Sejarah Penubuhan Fakulti

Sejarah Penubuhan Fakulti


Tempoh 1969-1971 merupakan titik peralihan penting dalam era pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia. Dalam tempoh ini empat universiti baru telah ditubuhkan sebagai tambahan kepada Universiti Malaya yang menjadi Universiti tunggal selama 20 tahun.

Salah satu daripada Universiti baru tersebut ialah Universiti Pertanian Malaysia (UPM), yang mana Arahan Penggabungannya yang ditandatangani oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 4hb Oktober,1971 diutuskan, sebahagiannya seperti berikut:

"Akan terdapat sebuah institusi pengajian tinggi bertaraf Universiti, di mana ianya menjadi badan korporat, bertujuan untuk menyediakan, menganjurkan dan memajukan pendidikan tinggi di dalam bidang Pertanian, Perhutanan, Perubatan dan Pembedahan Veterinar, Biologi Sains Asas, Sains Kejuruteraan, Teknologi, Sains Sosial, Sains Kemanusiaan dan Pendidikan di samping menjalankan penyelidikan serta pengumpulan dan peningkatan pengetahuan dan penyebaran pengetahuan tersebut".

 

Dengan ini tertubuhlah fakulti pengajian veterinar yang pertama di Malaysia. Sejurus selepas penubuhan ini, Majlis Interim Universiti bersetuju bahawa fakulti veterinar dijadikan salah satu daripada tiga fakulti asas Universiti baru ini, yang mana dua lagi adalah pertanian dan perhutanan.

Dekan pengasas dilantik pada bulan Januari 1972, dan bersama tiga orang ahli akademik Jabatan Sains Penternakan dari bekas Kolej Pertanian telah mengasaskan fakulti baru ini yang dengan rasminya dipanggil Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Peternakan, di mana dua kegiatan utama ternakan digabungkan di bawah satu organisasi.

Tanggunjawab merancang kurikulum telah dijalankan pada peringkat awal dengan bantuan dua orang penasihat, seorang dari Australia dan seorang lagi dari United Kingdom. Perancangan kurikulum pada peringkat akhir meliputi input penasihat-penasihat dari Kanada disamping ahli tempatan dari Fakulti dan Lembaga Penasihat Fakulti.

Perancangan untuk kemudahan fizikal dibuat setelah Dekan dan kakitangan yang lain mengkaji kemudahan pembelajaran veterinar di Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan Kanada. Sejumlah RM 7.8 juta telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Kedua untuk membina kemudahan fizikal Fakulti. Peruntukan tambahan telah diminta untuk menampung berbagai kos tambahan. Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga, sejumlah RM 400,000 lagi telah diperuntukkan untuk projek ini. Jumlah keseluruhan peruntukan kewangan untuk pembangunan ini adalah RM 10.97 juta.

 

Kumpulan pelajar pertama mendaftar pada bulan Julai 1973, hampir menepati 5 tahun pada bulan yang dicadangkan oleh Sir William Weipers, pada tahun 1968. Walaubagaimanapun, ini adalah kebetulan sahaja dan bukan rancangan yang sebenarnya. Pada hakikatnya, sungguhpun negara berminat dengan penubuhan Fakulti Veterinar, ianya belum lagi bersedia, terutamanya dari segi kakitangan, bila Fakulti ditubuhkan.

Nukleus awal yang terdiri daripada empat orang telah ditambah dengan pinjaman seorang kakitangan daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan, beberapa lantikan terus daripada pegawai tempatan dan luar negara, dan perpindahan tiga pegawai daripada Jabatan Sains Penternakan, Fakulti Pertanian, Universiti Malaya. Jumlah ahli Fakulti pada Januari 1995 adalah 65 orang.

Pada peringkat awal, bantuan dicari dari berbagai sumber dan akhirnya didapati dari Australia melalui Australian-Asian Universities Co-operation Scheme (AAUCS) dan dari Kanada melalui Canadian International Development Agency (CIDA). Bantuan diberikan dalam bentuk pinjaman penasihat dan professor, biasiswa untuk pengajian lanjutan bagi ahli fakulti tempatan dan juga beberapa peralatan.

Selain daripada pelajar veterinar, kemasukan juga diterima bagi program diploma yang melatih separa profesional yang berpengetahuan dalam pengeluaran dan kesihatan haiwan. Kumpulan pertama pelajar veterinar dianugerahkan ijazah pada tahun 1978 dan dan sehingga 2000, yang merupakan penganugerahan kali ke 24 menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 648 orang.

Manakala, kumpulan pertama pelajar Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan dianugerahkan diploma pada tahun 1977 dan yang ke 24 pada tahun 1999 menjadikan jumlah keseluruhan seramai 916 orang.

 

 

Kemaskini:: 10/07/2019 [mjamil]

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3800
+603 9769 1971
B1566542759