Profesor Dr Mohd Hair Bejo Menang | FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
» BERITA » Profesor Dr Mohd Hair Bejo Menang

Profesor Dr Mohd Hair Bejo Menang

Prof. Dr. Mohd Hair menang “WVPA-Merial Innovation in Vaccination Award”

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Marina Ismail

 

SERDANG, 9 Nov: Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd Hair Bejo memenangi anugerah “WVPA-Merial Innovation in Vaccination Award” hasil kejayaan penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersilan vaksin penyakit Gumboro (Bursal Disease Vaccine) di Asia.

Anugerah disampaikan ketika mesyuarat WVPA (World Veterinary Poultry Association) Asia di Manila, Filipina, baru-baru ini.

Prof. Dr Mohd Hair adalah individu kedua memenangi anugerah itu yang mula diperkenalkan pada 2015. Ia diberikan kepada ahli veterinar ayam/itik atau ahli sains kesihatan unggas yang memberi sumbangan bermakna dalam bidang inovasi dan vaksinasi ayam itik.

Sambil melahirkan rasa syukur atas kemenangan itu. katanya, beliau tidak menduga akan memenanginya.

“Ia sebenarnya adalah pengiktirafan antarabangsa terhadap ahli sains di rantau ini berhubung sumbangan mereka dalam penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersilan produk untuk faedah manusia sejagat,” katanya ketika ditemu bual di sini.

 

 

Presiden WVPA, Nigel Horrox dipetik sebagai berkata: “Kita mempunyai pemenang yang sememangnya layak memenangi anugerah tahun ini, iaitu Prof. Dr. Mohd Hair.”

Gumboro adalah penyakit yang menyebabkan kematian ayam yang tinggi dan immunosuppression (hilang daya tahan). Sekiranya unggas itu tidak mati, ia kehilangan daya tahan dan akan mati jika diserang penyakit lain.

Prof. Dr. Mohd Hair berkata, virus Gumboro baharu yang sangat getir (virulent) muncul di dunia pada 1980-an, manakala di Asia pada 1990, dan menurutnya vaksin yang ada ketika itu tidak memberi perlindungan sepenuhnya kepada ayam menyebabkan perlunya kepada vaksin baharu.

Katanya, vaksin penyakit Gumboro (Bursal Disease Vaccine) atau MyVAC UPM93 itu mula dibangunkan pada 1993 dan dikomersilkan pada 2005. Vaksin itu hanya perlu dimasukkan ke dalam air minuman ayam.

Katanya, sehingga 2012, sebanyak 80.46 juta dos vaksin itu telah dijual di Malaysia, manakala sebanyak 8.68 juta dos dijual di Myanmar dari 2011 hingga 2013. Vaksin itu turut dijual di Vietnam.

Pada 2015  pula, MyHatch UPM 93 IBD Vaksin telah dikomersilkan dengan pengamalan pemvaksinan di tapak penetasan atau pemvaksinan hari pertama ayam menetas; satu amalan pemvaksinan ayam yang lebih berkesan.

Bagi terus membangunkan Vaksin IBD, katanya, penyelidikan kini dilakukan bagi menghasilkan generasi baharu vaksin seperti recombinant, reverse genetic dan transgenic plant vaccines.

Menurutnya, penyelidikan ini sudah dilakukan di peringkat makmal, sebelum dilakukan di peringkat ladang. - UPM

Tarikh Input: 23/03/2017 | Kemaskini: 23/10/2017 | mjamil

PERKONGSIAN MEDIA

FAKULTI PERUBATAN VETERINAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 3896
+603 9769 1971
SXDdQAR~